MARUDI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa perahu karam di Long Selatong, Sungai Baram menemukan dua daripada empat mangsa yang dilaporkan hilang, manakala dua lagi masih belum ditemukan.
Mangsa yang ditemukan meninggal dunia ialah Joshua Uken Mathew, 38, dan anak lelakinya, Jovian Jangin Joshua, 4.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.30 tengah hari semalam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi memulakan operasi SAR hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan polis, empat mangsa yang berasal dari Kampung Long Selatong dipercayai menaiki sebuah perahu menuju ke Klinik Kesihatan Long San pada Isnin lalu namun gagal pulang ke rumah sebelum penduduk kampung menemukan perahu yang dinaiki mereka dalam keadaan karam di Sungai Seperot.
“Pasukan SAR bertolak dari BBP Marudi pada 6.00 pagi dan tiba di lokasi pada 12.30 tengah hari.
“Pada kira-kira 9.00 pagi, penduduk Kampung Long Na’ah menemui satu mayat di tepi sungai, kira-kira dua jam perjalanan bot dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berikutan keadaan sungai yang deras akibat hujan di kawasan hulu, mayat berkenaan tidak dapat dibawa terus ke Klinik Kesihatan Long San.

Sehubungan itu, anggota bomba menggunakan bot milik penduduk kampung untuk ke lokasi penemuan sebelum membawa keluar mayat menggunakan pengusung.
Katanya, pengecaman identiti dilakukan oleh ahli keluarga di lokasi dan disahkan pegawai perubatan dari Klinik Long Na’ah sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk dibawa pulang ke kediaman keluarga.
Jasad mangsa selamat tiba di rumah keluarga di Long Selatong kira-kira 4.30 petang, manakala operasi SAR ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan disambung semula esok.
Dua mangsa yang masih belum ditemukan ialah Ceria Dullah, 43, dan Jonathan Nyurang Lusut, 45.
Operasi SAR melibatkan tiga anggota BBP Marudi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Eric Unyi dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).



