KEMAS Marudi perluas celik digital menerusi Kelas PLF

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI Kemas Daerah Marudi dan TR Tanjong Stapang B menyerahkan alat pengajaran dan pembelajaran kepada tenaga pengajar PLF Rosmawati Peterus. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Seramai 15 peserta dari Rumah Tanjong Nudong, Stapang B menyertai Program Celik Digital menerusi Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) di Rumah Tanjong, Stapang B, di sini, hari ini.

Pegawai KEMAS Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi berkata, program itu merupakan antara inisiatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi membantu masyarakat luar bandar, khususnya golongan yang tercicir daripada sistem pendidikan formal, menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Menurutnya, program berkenaan turut diselitkan dengan aktiviti mewarna dan sukaneka dalam kalangan peserta Kelas PLF Rumah Tanjong, Stapang B.

PENGURUS NADI Pekan Marudi, Zaidah Johari menyampaikan ceramah kepada peserta kelas PLF. Foto Jiku Jugoung

Sejajar dengan perkembangan era digital, katanya, skop program turut diperluaskan dengan menerapkan elemen celik digital bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi.

“Antara fokus program ini adalah untuk memperkasakan kemahiran digital melalui inisiatif di bawah KEMAS, termasuk penguasaan asas teknologi, membantu peserta mengenali peranti digital serta mengakses maklumat berguna melalui internet dan media sosial.

KENANGAN…Peserta kelas PLF bergambar kenangan bersama pegawai dan warga Kemas pada Program Celik Digital, Kelas Literasi Fungsian, Rh Tanjong Stapang B. Foto Jiku Juguong

“Program ini juga bertujuan mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya.

Therry berkata, program itu turut bertujuan memperkasa komuniti serta menyokong dasar transformasi digital negara supaya tiada kelompok masyarakat terpinggir daripada arus pendigitalan.

Turut hadir Pengurus NADI Pekan Marudi, Zaidah Johari yang juga penceramah program, TR Tanjong Nudong dan TR Poleh Frederik Gelau.

Oleh Jiku Juguong

Polis Bau perhebat rondaan cegah jenayah

BAU: Polis Bau mempergiatkan rondaan cegah jenayah secara berkala di beberapa kawasan dalam daerah ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan