Kemalangan dua kenderaan di Simpang Ulu Paku, seorang cedera ringan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BETONG: Seorang pemandu mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Simpang Ulu Paku, petang ini.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan terus ke balai pada 4.49 petang berhubung kejadian tumpahan minyak di lokasi.


SEORANG
pemandu mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Simpang Ulu Paku, petang ini. Foto PGO Bomba Sarawak

Sebaik tiba di tempat kejadian pada 5.06 petang, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah Perodua Aruz.

Kenyataan itu memaklumkan pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu Perodua Aruz mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan tersebut.

Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Betong menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

KEMALANGAN membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Simpang Ulu Paku menyebabkan seorang pemandu mengalami kecederaan ringan. Foto PGO Bomba Sarawak

Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pembersihan (flushing) bagi membersihkan kesan tumpahan minyak dan serpihan kemalangan di atas jalan bagi memastikan keadaan laluan kembali selamat untuk digunakan.

Operasi di lokasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Mosihi Buang dengan kekuatan enam anggota dari BBP Betong.

Dua buah jentera digunakan dalam operasi tersebut iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan EMRS, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu mengawal keadaan serta menjalankan siasatan.

Operasi berjaya dikawal pada 5.15 petang, sementara kerja-kerja pembersihan dan tindakan susulan di lokasi diteruskan sehingga keadaan benar-benar selamat.

Oleh Adi Safarman