KUCHING: Pindaan Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan 2024) yang diluluskan di Dewan Rakyat mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja di Semenanjung Malaysia serta 1.46 juta di Sarawak adalah setara.
Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Zaidi Nasar berkata, pindaan itu adalah selari dengan perundangan Akta Kerja 1955 dan juga piawaian antarabangsa.
”Kami berharap pindaan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada semua pekerja di Sarawak dan memperkukuhkan lagi perlindungan hak-hak mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau pada masa sama mewakili MTUC menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala yang telah memberikan sokongan penuh terhadap pindaan RUU itu.
”Setelah hampir 20 tahun menantikan pindaan Ordinan Buruh Sarawak (Ordinan Buruh Sarawak), bacaan RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 telah dibentangkan dan telah diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
”Ini menandakan detik bersejarah dalam usaha menyeragamkan hak dan perlindungan 1.4 juta pekerja di negeri Sarawak dengan pekerja di Semenanjung Malaysia di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265),” ujarnya.
Untuk rekod, Pindaan Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan 2024) melibatkan 75 fasal yang dipinda, merangkumi pelbagai aspek perburuhan utama untuk memastikan keseragaman dengan Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sarawak.
Antara perkara utama dalam pindaan RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 termasuklah liputan pemakaian Ordinan diperluaskan daripada pekerja bergaji RM2,500 dan ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, tempoh cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari.
Selain itu, cuti paterniti diberi kepada bapa sebanyak tujuh hari, waktu bekerja dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal.
Dalam pada itu, ia juga merangkumi peruntukan baharu tentang standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja; dan peruntukan tentang aduan diskriminasi di tempat pekerjaan.