KUCHING: Keluarga yang menjaga kanak-kanak dan golongan dewasa berkeperluan khas wajar menerima sokongan, keprihatinan serta pengiktirafan berterusan daripada masyarakat, kata Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian.
Kong berkata, beliau baru-baru ini mengunjungi beberapa keluarga di Kampung Sungai Tapang dan menyampaikan sumbangan barangan makanan sebagai tanda sokongan kecil, selain mengingatkan mereka bahawa mereka tidak berdepan cabaran menjaga insan tersayang berkeperluan khas secara bersendirian.
Semasa lawatan itu, beliau bertemu beberapa keluarga serta mendengar pengalaman dan cabaran yang mereka lalui.

Antaranya ialah Aroyyan Dayen yang dilahirkan pramatang dan disahkan mengalami kelewatan perkembangan menyeluruh. Kong berkata, kanak-kanak itu turut mengalami sawan epilepsi dari semasa ke semasa, manakala ibu bapanya terus memberikan komitmen sepenuhnya dalam menyediakan penjagaan, kasih sayang dan perhatian yang diperlukan.
Beliau turut menziarahi Mohd Marzulkiflie yang berdepan cabaran kesihatan mental serta tidak mampu hidup secara berdikari walaupun boleh makan sendiri.
Kong berkata, ibu bapa Marzulkiflie berkongsi antara kebimbangan terbesar yang sering dihadapi oleh ramai penjaga, iaitu persoalan mengenai nasib anak mereka apabila mereka sudah tiada untuk menjaga mereka.
Katanya, ramai keluarga memendam kebimbangan sedemikian setiap hari sambil melakukan pelbagai pengorbanan bagi memastikan insan tersayang menerima penjagaan, rawatan dan sokongan sewajarnya.
“Ketabahan, kesabaran dan kasih sayang tanpa syarat mereka wajar mendapat penghormatan setinggi-tingginya,” katanya.
Kong berkata, walaupun bantuan makanan yang disampaikan adalah sederhana dan hanya memberikan kelegaan sementara, beliau berharap sumbangan itu dapat mengingatkan keluarga terbabit bahawa mereka tidak dilupakan.
Beliau menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan keluarga yang menjaga individu berkeperluan khas menerima bantuan dan pengiktirafan yang sewajarnya.
Oleh Connie Chieng




