KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak berjaya merampas 36.956 kilogram dadah jenis ganja dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dalam tempoh seminggu lepas.
Pengarah Kastam Sarawak berkata, jumlah tangkapan untuk dua kes tersebut dianggarkan bernilai RM92,390 dan kes berkenaan merupakan rampasan yang terbesar pada tahun ini.
“Kes pertama ialah pada 28 April 2021 lebih kurang pada 3.25 petang di mana pegawai kastam di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) LTAK telah mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dari bagasi seorang wanita warga tempatan yang tiba dari Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut Herman Shah Abdullah telah membawa kepada penemuan sejumlah 18 bungkusan berbalut kertas hadiah di dalam salah satu bagasi yang bersaiz lebih besar, bungkusan hadiah berkenaan dibaluti dengan menggunakan plastik lutsinar, kertas karbon dan plastik berwarna keemasan yang mengandungi tumbuhan mampan yang disyaki dadah jenis ganja,” katanya, pada sidang media, semalam.
Herman berkata, kesemua 18 ketulan tumbuhan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan berat lebih kurang 18.264 kilogram dan dianggarkan mempunyai nilai pasaran semasa sebanyak RM45,660.
Susulan itu, wanita tempatan berusia lewat 20-an yang bekerja separuh masa sebagai agen insuran tersebut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
“Wanita tersebut telah pergi ke Kuala Lumpur pada 22 April bagi tujuan melawat dan menjaga ibunya di hospital, semasa di Kuala Lumpur dia mendakwa rakannya telah mengirim sebuah bagasi untuk dibawa balik ke Kuching pada 28 April.
“Siasatan awal juga telah mendapati dia telah dijanjikan habuan di sebuah syarikat di Daerah Serian dan mengesyaki wanita terbabit dijadikan ‘keldai dadah’,” jelasnya.
Sementara itu, dalam kes kedua pada 1.45 petang, Sabtu lalu, pegawai UKPP membuat imbasan terhadap sebuah bagasi yang tidak dituntut selepas tiba dari Kuala Lumpur pada 2 April lalu
“Hasil imbasan itu menemui imej mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menemui 19 bungkusan lutsinar yang mengandungi ganja.
“Pihak kami percaya, bagasi berkenaan sengaja ditinggalkan selepas pemiliknya menyedari kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan JKDM di pintu masuk LTAK,” katanya.
Katanya, pengesanan terhadap pemilik bagasi yang mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM46,730 itu sedang dijalankan dan berdasarkan rekod syarikat penerbangan, pihaknya percaya tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. “Siasatan juga dijalankan untuk mengenal pasti kemungkinan dua bagasi yang dirampas itu mempunyai kaitan,” katanya.