
BINTULU: Kelab Polis Daerah Bintulu bakal menganjurkan Bintulu Cops Run bertempat di Farley Medan Court, Medan Jaya di sini pada 3 Mei ini.
Acara tersebut akan bermula seawal 5.30 pagi dan terbuka kepada semua yang ingin menguji ketahanan fizikal serta menyahut cabaran bersama pihak polis.
Tiga kategori larian ditawarkan iaitu 5 kilometer (km) Fun Run dengan yuran penyertaan sebanyak RM60 bagi individu, 10km Competitive (Lelaki/Wanita Terbuka) dengan yuran RM70 setiap peserta dan 10km Berkumpulan memerlukan sekurang-kurangnya lima peserta dengan yuran RM65 setiap individu.
Para peserta yang berminat boleh mendaftar melalui pautan ‘Bintulu Cops Run Registration’ sebelum tarikh tutup penyertaan pada 1 April.
Bagi kategori 10km Competitive, pemenang tempat pertama akan menerima RM300 serta trofi, tempat kedua RM200 dan trofi manakala tempat ketiga bakal membawa pulang RM100 dan trofi.
Bagi kategori 5km Fun Run, peserta yang berjaya menamatkan larian akan menerima medal sebagai tanda penghargaan.
Peserta yang telah mendaftar boleh mengambil ‘race pack’ pada 1 hingga 2 Mei di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Jalan Tun Hussein Onn, dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari atau 2.00 petang hingga 5.00 petang.
Sebagai peringatan penting, setiap pelari perlu melengkapkan laluan yang ditetapkan serta mengumpulkan gelang khas di ‘checkpoint’.
Gelang tersebut wajib ditunjukkan untuk menebus medal di garisan penamat.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pihak penganjur menerusi pegawai bertugas di IPD Bintulu dan balai polis berdekatan.