KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengerahkan 500 petugas kesihatan termasuk dari negeri lain untuk membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba, ini bagi mengatasi isu kekurangan kakitangan dalam mengesan, menguji dan merawat atau juga dikenali sebagai Proses 3T (Tracing, Testing, Treatment), isolasi dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
“Petugas kesihatan adalah dari zon hijau di Sarawak dan petugas dari negeri lain.
“Anggaran adalah sebanyak 300 hingga 500 petugas di pelbagai kategori seperti doktor, jururawat dan termasuk mereka yang membuat ujian pantas di lapangan,” katanya ketika ditemui media ketika melawat ke pusat vaksinasi Covid-19 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, semalam.
Katanya, kira-kira sejumlah 2.3 juta penduduk Sarawak tidak termasuk mereka yang berusia 18 tahun ke bawah akan diberikan suntikan vaksin covid-19.
“Kerajaan Sarawak sendiri juga telah membantu mendapatkan bekalan vaksin ini dengan kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, Sarawak berkemampuan menangani pusat vaksinasi secara besar-besaran yang dikendalikan KKM setakat ini. Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Profesor Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Chin Zin Hing.
Oleh NUR AIN OTSMAN