KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan beli ke atas syarikat pembuat koko, Guan Chong Bhd (GCB) pada harga sasaran (TP) RM4.30 berbanding RM3.50 sebelum ini.
Bank pelaburan itu berkata pengeluaran syarikat itu dijangka meningkat pada separuh kedua 2020 memandangkan operasi kembali seperti biasa manakala permintaan terhadap coklat pasaran massa kekal pesat walaupun pandemik Covid-19.
“Kami yakin asas keuntungan berdaya tahannya dalam persekitaran permintaan industri mampan semasa perlu diberi saranan lebih baik, selain daripada pemangkin pertumbuhan yang pelbagai,” menurut bank itu menerusi nota penyelidikan semalam.
Ia menjangkakan keuntungan suku kedua 2020 syarikat itu kekal kukuh di antara RM68 juta dengan RM72 juta walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), didorong oleh jualan hadapan dan nisbah gabungan yang agak stabil.
“Walaupun PKP menjejaskan dinamik penawaran dan permintaan banyak pengeluar lain, Guan Chong berjaya mengekalkan kadar penggunaannya pada tahap optimum 95 peratus dan permintaan terhadap coklat pasaran massa kekal positif kerana seluruh dunia melaksanakan sekatan pergerakan,” menurutnya.
RHB Investment berkata pandemik Covid-19 telah mengganggu penjualan segmen coklat mewah yang sangat bergantung kepada industri pelancongan dan perhotelan walaupun telah diimbangi oleh permintaan lebih tinggi ke atas coklat pasaran massa kerana sekatan pergerakan mendorong keinginan pengguna terhadap makanan selesa.
Serbuk koko sebagai bahan bukan komoditi juga menyokong baik kedudukan Guan Chong semasa tempoh mencabar ini, memandangkan ia dapat mengimbangi sebarang kelemahan penjualan mentega koko, yang bergantung kepada pasaran coklat premium.
Berlandaskan penyesuaian nilai tambah dan penggunaan serbuk koko yang lebih luas pada masa ini, harga jualan serbuk koko Guan Chong kurang dipengaruhi persekitaran luaran, katanya.
“Kami menjangkakan syarikat itu terus mencatatkan pertumbuhan positif meskipun pandemik itu menjejaskan ekonomi global.
“Permintaan terhadap produk koko tetap baik memandangkan pengguna beralih kepada makanan selesa dalam tempoh ini,” menurut bank itu.
Pada 12.02 tengah hari, saham Guan Chong turun enam sen kepada RM3.29, dengan 1.71 juta saham bertukar tangan.- Bernama