FAIZAL BUJANG
MASYARAKAT hari ini harus lebih peka dengan menjaga kepentingan kesihatan diri masing-masing.
Justeru, langkah ke arah itu perlu disusuli dengan mengamalkan gaya hidup sihat terutamanya melibatkan diri pelbagai kegiatan ataupun aktiviti sukan yang dianjurkan.
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris ketika berucap pada Majlis Perasmian Gelanggang Futsal Kampung Sungai Apin, Simunjan.
Menurutnya, langkah mengutamakan gaya hidup sihat bukan sahaja dapat mengekalkan tahap kecergasan diri.
Malah kata beliau, mampu mengelakkan diri seseorang individu terbabit daripada terdedah kepada penyakit.
“Harus diingat menjaga kesihatan diri perlu diutamakan, ia adalah penting untuk memastikan diri kita berada dalam keadaan yang sihat,” ujar Awla.
Mengulas mengenai gelanggang futsal terbabit, beliau percaya ia memberi sinar baharu kepada penduduk Kampung Sungai Apin, Simunjan.
Tegasnya lagi, dengan adanya kemudahan gelanggang futsal berkenaan pastinya akan memberi kelebihan kepada penduduk kampung khususnya remaja dan belia untuk bermain bola sepak lima sebelah.
“Kita berharap dengan adanya gelanggang futsal ini akan dapat menyaksikan kemunculan lebih ramai bakat baharu terutamanya dalam sukan bola sepak lima sebelah.
“Ia sekali gus dapat menjadikan Daerah Simunjan menjadi penyumbang tenaga pemain kepada negeri ini dan negara padamasa akan datang,” tambah Awla lagi.
Sementara itu, turut dilangsung ialah kejohanan futsal kategori lelaki dan wanita sebagai penyeri kepada majlis perasmian gelanggang terbabit.
Hadir sama isteri beliau, Puan Napsiah Abang Kaderi, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan, Mohd. Alsagaf Mohd. Jaafar serta Ketua Masyarakat setempat.