Kejuaraan Piala Dunia bawa ganjaran lumayan buat persekutuan bola sepak Sepanyol serta pemain

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MADRID: Sambutan diteruskan di Sepanyol pada Isnin berikutan kejayaan negara itu merangkul kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua, dengan gol kemenangan Ferran Torres pada masa kecederaan menentang Argentina pada Ahad meletakkannya setaraf dengan Andres Iniesta, yang menjaringkan gol penentu pada final 2010, lapor Xinhua.

Selain penghormatan menambah bintang kedua pada jersi pasukan kebangsaan, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) dan 26 pemain dalam skuad berkenaan turut mempunyai sebab kukuh dari sudut kewangan untuk meraikan kejayaan itu.

Kemenangan pada Piala Dunia 2026 itu membolehkan RFEF meraih hadiah wang tunai berjumlah AS$50 juta daripada FIFA, manakala persekutuan itu juga bakal menikmati peningkatan hasil penajaan.

Pasukan kebangsaan Sepanyol disokong oleh 35 syarikat merentasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, insurans, telekomunikasi, pakaian sukan, tenaga serta makanan dan minuman.

Status Sepanyol sebagai juara dunia juga dijangka melonjakkan nilai hak penyiaran televisyennya, manakala jualan jersi replika telah pun meningkat dengan mendadak di seluruh negara.

Jersi berwarna putih gading pasukan itu kini hampir habis dijual di Sepanyol, dengan permintaan dijangka terus meningkat di peringkat antarabangsa.

Kejayaan itu turut membawa ganjaran tunai yang lumayan buat para pemain, dengan setiap daripada mereka bakal menerima bonus sebanyak €756,000 (kira-kira AS$863,000), di samping pingat dan cincin juara Piala Dunia. – Bernama-Xinhua