PETRA JAYA: Kejohanan Tertutup Bola Sepak Belia PETRONAS 2024 akan berlangsung selama dua bulan, bermula Sabtu ini hingga 16 November depan.
Majlis pembukaan rasmi kejohanan tersebut akan diadakan di Stadium Negeri Sarawak pada Jumaat ini, 7.00 malam.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kejohanan ini dapat memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan belia seperti semangat kesukanan, perpaduan, komunikasi yang berkesan dan ketahanan mental serta fizikal, di samping memupuk etika kerja yang kuat dan meningkatkan kemahiran sosial mereka.
“Bola sepak merupakan salah satu sukan yang paling digemari oleh golongan belia kerana melalui aktiviti ini, mereka boleh meneroka kemampuan individu dan mempelajari kemahiran baru,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur 2, hari ini.
PETRONAS, sebagai penganjur utama kejohanan ini, telah menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching (KDFA), Kelab Bolasepak Kuching City FC (KCFC) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) di bawah MYSED sebagai rakan strategik teknikal dan fasiliti. Sementara itu, TVS akan menyertai sebagai rakan strategik media.
“Objektif kejohanan rintis (‘pilot’) ini menandakan langkah awal serta komitmen PETRONAS serta rakan kongsi strategik untuk memupuk dan mengetengahkan bakat muda dalam persekitaran yang terstruktur, serta membuka jalan untuk menganjurkan kejohanan berskala penuh di masa depan.
“Ia juga berfungsi sebagai pemangkin penting untuk menarik minat dan penyertaan daripada entiti korporat lain, memastikan kejayaan keseluruhan dan peningkatan profesionalisme acara tersebut.
“Dengan itu, saya ingin menekankan pengiktirafan kementerian saya terhadap komitmen PETRONAS dan rakan kongsi strategik untuk memajukan pembangunan belia dan memperkayakan landskap sukan di Sarawakmelalui kolaboratif yang strategik dengan pihak Kementerian,” katanya.
Kejohanan ini akan berlangsung selama dua bulan. Semua perlawanan akan diadakan pada hujung minggu di beberapa padang bola sepak di Kuching.
Menurut Abdul Karim, pada majlis pembukaan Sabtu ini nanti, terdapat suatu segmen khas yang akan menampilkan kemunculan pemain-pemain legenda dari pasukan ikonik Sarawak, ‘Ngap Sayot’ dan ‘Bujang Senang’ untuk kembali beraksi di padang dalam perlawanan persembahan (‘exhibition match’) menentang pasukan pilihan penganjur kejohanan.
Kejohanan ini akan melabuhkan tirai dengan perlawanan akhir dan diikuti dengan majlis penutupan pada 16 November yang juga diadakan di Stadium Negeri Sarawak.
“Penyertaan pada kejohanan ini adalah berdasarkan jemputan, melibatkan 23 akademi bolasepak dan sekolah dari Kuching, Samarahan, dan Sri Aman. Sebanyak 56 pasukan akan bersaing dalam empat kategori umur iaitu Bawah 10, Bawah 12, Bawah 14 dan Bawah 16.
“Semua bayaran pendaftaran yang dikumpulkan akan disalurkan kepada KDFA untuk tujuan pembangunan bolasepak belia di Sarawak,” katanya.
Piala dan pingat akan diberikan kepada juara Liga (bawah 14 dan bawah 16) dan juara kejohanan hingga pemenang tempat keempat bagi setiap kategori umur.
Anugerah khas seperti ‘Pemain Terbaik’, ‘Penjaga Gol Terbaik’ dan ‘Pasukan Fair Play’ juga akan diberikan kepada individu dan pasukan yang layak.
“PETRONAS Youth Football Closed Tournament 2024 ini lebih daripada sekadar acara sukan, ia adalah bukti dedikasi kami untuk memberi peluang kepada belia kami untuk bersinar dan berkembang di dalam dan di luar padang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada PETRONAS, KDFA, KCFC, TVS dan mana-mana pihak yang terlibat.
“Kami menantikan kejohanan yang pastinya akan memberi inspirasi kepada belia untuk memupuk budaya sukan profesional selain mempamerkanbakat luar biasa mereka,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman