SKUAD Kasen FC dari Kampung Senari terus menampilkan aksi bertenaga apabila layak separuh akhir selepas menundukkan wakil tuan rumah, Kampung Gedong menerusi sepakan penalti 5-2 dalam aksi suku akhir Kejohanan Bola sepak Terbuka Sembilan Sebelah Kampung Gedong, Simunjan 2022 Ahad lepas.
Dengan kejayaan itu, Kasen FC kini hanya selangkah sahaja untuk beraksi pada perlawanan akhir dengan wakil dari Serian bakal menanti cabaran pada perlawanan separuh akhir hujung minggu ini.
Penolong Pengurus Junai Nok berkata, keseluruhannya aksi yang ditampilkan oleh para pemain sangat bertenaga walaupun terpaksa menghadapi jadual yang padat pada perlawanan yang berlangsung hujung minggu lepas.
Katanya, dengan semangat juang tinggi dipamerkan oleh anak-anak buahnya, beliau yakin Kasen FC mampu melakukan kejutan ke atas pasukan wakil dari Serian pada aksi Ahad ini.
“Setakat ini, para pemain tampak bersemangat dan bebas daripada sebarang kecederaan bagi menghadapi saingan separuh akhir nanti. Namun, saya tetap berpesan supaya mereka tidak terlalu yakin dalam perlawanan menentang wakil dari Serian kelak.
“Yang penting, para pemain mesti fokus dalam setiap perlawanan kerana percaturan dan strategi setiap aksi adalah berbeza lebih-lebih lagi apabila bermain pada peringkat separuh akhir kerana lawan yang menanti turut berazam memburu kemenangan,” ujarnya semalam.
Sebelum ini, Kesen FC berjaya menyingkirkan wakil pasukan dari Asajaya dengan jaringan 5-0 pada perlawanan pertama, menundukkan sebuah lagi pasukan dari Serian dengan jaringan 2-0 serta menang menerusi sepakan penalti 5-2 ke atas wakil tuan rumah, Gedong selepas terikat seri 2-2 pada saingan suku akhir minggu lepas.
Junai menambah, Kasen FC kali ini telah dibarisi adunan muka lama dan baharu yang diketuai oleh bekas pemain Kuching City FC, Remenor Pit serta barisan pemain yang pernah beraksi dalam Liga Kuching termasuk Mohd Nor Abu Bakar, Hamka Bujang, Najib Jemain, Ismail Bujang, Faizul Ali dan beberapa pemain lagi.
“Dengan barisan pemain sedia ada, saya harap kami mampu mencipta sejarah untuk meraih kejuaraan kerana ini merupakan penyertaan sulung Kasen FC dalam kejohanan ini.
“Justeru, saya ingin merakamkan pergharagaan terima kasih kepada para penaja dan sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya kepada Penghulu Kampung Senari, Ali Amit yang telah menyumbangkan jersi serta kewangan bagi kami meneruskan cabaran.,” ujarnya lagi.