LAWAS: Kedudukan strategik Lawas yang berjiran dengan negara Brunei, Indonesia di Kalimantan, negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memberi kelebihan semula jadi untuk menerokai pasaran luar negara sekali gus mentransformasikan daerah Lawas sebagai nadi penghubung dengan kawasan lain di Sarawak menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan, antara projek yang akan dilaksanakan bermula tahun ini melibatkan Lebuhraya Pesisir Utara (coastal highway), Jambatan Batang Lawas, lapangan terbang baharu dan lain-lain.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu turut memberi penerangan ringkas tentang daerah Lawas yang suatu ketika dahulu sebuah bandar kecil yang terasing.
Memandangkan Majlis Daerah Lawas (MDL) yang pada ketika itu di bawah pengurusan Henry Sum Agong selaku Setiausaha MDL berjaya meletakkan Lawas dalam peta negeri dan nasional melalui kejayaan menjadi johan kebersihan peringkat negeri dan kebangsaan sebanyak tiga kali.
Daerah Lawas kini terus berkembang dengan menawarkan banyak produk pelancongan daripada tanah tinggi Bakelalan, keindahan alam semulajadi didarat dengan berbagai spesis tumbuhan dan haiwan yang unik.
Manakala, Lawas turut dianugerahkan dengan keindahan laut di kawasan pesisir bermula daripada Kuala Lawas ke Punang hingga ke Awat-awat.
Kepelbagaian kaum turut mencorakkan Lawas sebagai sebuah daerah yang harmoni dengan adanya masyarakat Melayu Brunei, Lun Bawang, Tagal, cina dan sedikit kaum Iban.
Lawas dan Limbang turut menjadi pusat ternakan kerbau yang utama di Sarawak dan bakal menjadi pusat pengeluaran keju daripada susu kerbau.
Manakala, program pembangunan turut rancak dirangcang dan akan dilaksanakan khususnya projek baru yang diluluskan Premier pada November lalu iaitu Pelabuhan Laut Dalam di Pulau Sari.
Awang Tengah menyatakan demikian pada majlis makan malam meraikan rombongan dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sempena Bengkel Retreat Perancangan Strategik 2023 di Lawas baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan, Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan penolong-penolong pengarah DBKU.
Oleh ADENG EDRUS