
NEW YORK, Amerika Syarikat: Syarikat peneraju buku audio, Audible, membuka apa yang disifatkannya sebagai ‘kedai buku tanpa buku’ pertama di New York pada Jumaat, ketika statistik industri menunjukkan semakin ramai pengguna di Amerika Syarikat menerima format tersebut.
Tiada bunyi helaian diselak atau timbunan novel terlaris di kedai pop-up yang dibuka oleh anak syarikat Amazon itu di Lower East Side, Manhattan.
“Ini adalah ruang fizikal yang didedikasikan sepenuhnya untuk menghidupkan penceritaan audio,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Audible, Bob Carrigan, semasa lawatan media ke Audible Story House pada Khamis.

Beliau menyifatkan idea itu sebagai sedikit ‘liar’ dan memerlukan imaginasi yang tinggi, sambil menambah bahawa kedai pop-up selama sebulan itu bertujuan “menghidupkan buku audio dalam persekitaran ini, di mana orang ramai boleh meneroka dan berhubung antara satu sama lain”.
Menurut Audio Publishers Association (APA), jualan buku audio di Amerika Syarikat mencecah AS$2.22 bilion pada 2024, hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu.
Di dalam kedai tersebut, tablet buku audio yang dikenali sebagai ‘story tiles’ disusun di rak dan boleh dimasukkan ke dalam peranti pemain untuk didengari melalui fon kepala.
Setiap ‘tile’ memainkan petikan ringkas, manakala karya penuh boleh diakses menerusi aplikasi Audible.

Platform itu, yang menguasai pasaran buku audio, menawarkan langganan berbayar, pembelian individu serta akses percuma kepada beberapa judul untuk pemegang akaun Amazon.
Ruang tersebut turut dilengkapi bilik dengan sistem pembesar suara untuk pengalaman mendengar tanpa fon kepala, selain ‘Listening Bar’ di mana ‘Story Tenders’ akan membantu pengunjung mencari buku audio yang sesuai dengan cita rasa dan minat mereka, menurut kenyataan media.
Ruang itu bertujuan mencerminkan peningkatan pesat populariti format berkenaan serta “peralihan ke arah pengalaman luar talian dan hubungan dunia sebenar”.
“Audible Story House memanfaatkan nostalgia dan semangat komuniti budaya buku sambil membawanya sepenuhnya ke era masa kini,” menurut syarikat itu. – AFP