
SARATOK: Kecekalan serta kesabaran guru pelatih di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam memastikan golongan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) menerima pendidikan yang sempurna wajar dipuji.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata pelbagai cabaran perlu ditempuh oleh guru pelatih PPDK dalam usaha mendekati dan memahami karakter anak-anak istimewa ini.
“Kanak-kanak istimewa ini terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya masalah pembelajaran, masalah fizikal, mental dan pendengaran maka penerimaan mereka terhadap suatu proses latihan dan terapi juga berbeza-beza.
“Sebagai tenaga pengajar di PPDK Saratok ini, mereka sentiasa peka dan memahami tingkat kemampuan dan keperluan latihan untuk pelatih mereka,” katanya semasa menghadiri Program Ihya Ramadan PPDK Saratok di sini hari ini.

Mohamad Duri berkata meskipun kanak-kanak istimewa itu amat sukar dikawal semasa mula-mula dihantar ke pusat pemulihan, namun menerusi latihan dan terapi berterusan yang dijalankan, kanak-kanak tersebut berjaya mengikuti sesi pembelajaran dengan baik dan mengembangkan potensinya dalam bidang seni dan kraftangan.
“Sebab itu saya katakan guru yang melatih anak-anak istimewa ini wajar diberi pujian, kerana dengan kesabaran mereka mendidik golongan anak-anak itu untuk bersama-sama menikmati keindahan alam kanak-kanak dan remaja,” katanya.
Pada majlis tersebut, Mohamad Duri mengumumkan geran peruntukan berjumlah RM5,000 bagi membantu melancarkan aktiviti dan program tahunan PPDK Saratok.
Antara pengisian program tersebut adalah gotong-royong oleh warga PPDK Saratok dalam menyediakan serta memasak bubur lambuk sebelum diagihkan kepada masyarakat setempat.
Turut hadir, Pengerusi PPDK Saratok, Aznor Suhada Radzaal.
Oleh Adi Saparman