
KUCHING: Pengarah filem kelahiran Sarawak, Mohd Ghazali Jeman atau Jalot Jeman, bakal mengarah sebuah filem berjudul Tumbukan Emas, diinspirasikan daripada perjalanan kehidupan legenda tinju negara, Majer Sapok Biki.
Menurut Jalot Jeman, kini tiba masanya anak kelahiran Sarawak berkarya dan menerbitkan filem berinspirasi legenda sukan Sarawak.

“Filem Tumbukan Emas diilhamkan menerusi kehidupan Mejar Sapok Biki yang mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam acara tinju di Sukan Komanwel 1998.
“Kita akan menjalani penggambaran pada Mac tahun ini dan mencari lokasi penggambaran yang sesuai, menarik sekali gus mengangkat industri pelancongan Sarawak.
“Seperti biasa, filem untuk kita mengenali lokasi menarik. Penggambaran ini akan menempuhi sepanjang Ramadan nanti dan akan ditayang pada 22 Julai 2025 sempena Hari Sarawak,” katanya pada sidang media khas Tumbukan Emas di Dewan Tribes, hotel terkemuka di sini, hari ini.
Katanya, Sarawak mempunyai ramai legenda yang kisahnya perlu diketengahkan.
“Sapok Biki adalah contoh terbaik dan setelah mendapat persetujuan pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), saya terus berjumpa dengannya untuk merealisasikan projek ini,” jelasnya sambil menambah Tumbukan Emas diterbitkan oleh Kamek Empun Production (KEP).
Bercerita mengenai tercetusnya Tumbukan Emas, jelas Jalot, beliau berjumpa sendiri dengan Sapok Biki untuk mendapatkan persetujuan dan kerjasama.
“Kami mengambil masa lebih setahun untuk merancang jalan cerita yang benar-benar menarik dan mengangkat kisah Sapok Biki sebagai inspirasi untuk semua.
Katanya, KEP berjaya mendapatkan sokongan dana daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) selepas melalui proses penilaian dan temuduga yang panjang.
“Melalui peruntukan ini filem Tumbukan Emas, KEP sebagai syarikat produksi ini kini bersedia memulakan penggambaran filem yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2025 sepanjang 25 hari,” jelas Jalot.
Katanya, watak Sapok Biki akan dilakonkan oleh peninju berbakat dari Sarawak yang dikenali sebagai ‘Kilat Boy’ atau nama sebenarnya Daeloniel Mcdelon Bong.
“Turut terlibat nama-nama besar seperti Nam Ron, Azhan Rani dan Tony Eusoff yang akan memegang watak sebagai jurulatih. Filem ini turut menampilkan lebih 300 pelakon tempatan Sarawak.
“Dengan sokongan dan kerjasama agensi negeri dan juga peringkat persekutuan seperti Finas, Kementerian Belia dan Sukan, ATM, Perbadanan Sukan Sarawak, Majlis Sukan Sarawak, Majlis Seni Sarawak dan agensi lain, memberi impak besar dalam penerbitan filem Tumbukan Emas untuk menjadi filem pertama sukan tinju di Malaysia,” jelas Jalot.
Sidang media Tumbukan Emas turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh Amanda L / Neenatul Aizal