Kebakaran tong sampah di Jalan Pisang Emas berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sampah di Jalan Pisang Emas. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei berjaya memadamkan kebakaran sebuah tong sampah di Jalan Pisang Emas dan mengelakkannya daripada merebak ke kawasan berhampiran, hari ini.

Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.47 petang.

“Susulan menerima panggilan kecemasan, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Kilok Lampas bersama lapan anggota bomba bergegas ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran sebuah tong sampah.

ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadamkan api kebakaran tong sampah di Jalan Pisang Emas. Foto BBP Sarikei

“Komander operasi membuat penilaian awal, seterusnya mengarahkan anggota menggunakan satu aliran kekili hos bagi memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

“Usaha pemadaman diteruskan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya bagi mengelakkan kebakaran merebak dan mendatangkan risiko kepada kawasan sekitar.

“Anggota bomba turut melakukan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada lagi bara api atau punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.21 petang selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.

Oleh Earl Anek