
BELAGA: Kebakaran melibatkan siling bangunan Medan Selera Belaga berjaya dikawal dan dipadamkan dalam tempoh singkat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak malam ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 7.51 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga tiba di lokasi hanya dua minit kemudian iaitu pada 7.53 malam, dengan jarak lokasi kira-kira 1 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Helman Main mengetuai operasi pemadaman bersama tujuh anggota menggunakan satu aliran 100 kaki dengan satu pancutan pam jentera serta sumber air dari tangki jentera.

Kebakaran berjaya dikawal pada 8.00 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.12 malam selepas pemeriksaan lanjut memastikan tiada lagi punca api yang aktif.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut dan operasi berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.
JBPM Sarawak memaklumkan tindakan pantas anggota bertugas berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke struktur lain bangunan.
Oleh Faizah Muzidi