
KEADAAN rumah pekerja yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran. Foto JBPM
KUCHING: Sebuah rumah pekerja yang mengandungi 10 bilik di Lorong Peace 3, berhampiran Sekolah Menengah Chung Hua di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.32 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran berlaku melibatkan sebuah rumah yang dijadikan sebagai rumah pekerja dengan struktur tidak kekal dan mengandungi 10 bilik.
“Kebakaran dianggarkan memusnahkan 100 peratus struktur rumah berkenaan yang berkeluasan kira-kira 50 kaki x 50 kaki persegi serta dua buah motosikal yang turut terbakar sepenuhnya,” kata Komander Operasi, PBK II Suboh Man dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seramai 30 penghuni yang berada di rumah berkenaan dilaporkan selamat dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.
“Operasi pemadaman dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke struktur berhampiran dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 9.29 pagi,” katanya.