Kebakaran ladang nanas di Pusa masuk hari kedua, 0.40 hektar masih terbakar

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
OPERASI pemadaman kebakaran terbuka di sebuah ladang nanas di Kampung Pusa, memasuki hari kedua hari ini, namun terpaksa ditangguhkan sementara berikutan kebakaran yang masih berlarutan di kawasan tanah gambut. Foto PGO Bomba Sarawak

PUSA: Operasi pemadaman kebakaran terbuka di sebuah ladang nanas di Kampung Pusa, memasuki hari kedua hari ini dengan baki kawasan seluas 0.40 hektar masih terbakar akibat keadaan tanah gambut yang menyukarkan usaha pemadaman.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi diteruskan pada 9.45 pagi apabila Ketua Balai bersama tiga anggota bergerak ke lokasi bagi menyambung kerja-kerja pemadaman serta membuat pemantauan keadaan kebakaran

Operasi pemadaman dipertingkatkan pada 11.30 pagi menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki bagi membolehkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mara lebih jauh ke kawasan kebakaran.

Bekalan air diperoleh daripada sumber air terbuka dengan menggunakan pam angkut Tohatsu yang dipinjam daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok.

BOMBA masih berusaha memadamkan baki kawasan seluas 0.40 hektar yang terus terbakar akibat keadaan tanah gambut yang menyukarkan operasi. Foto PGO Bomba Sarawak

Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada 6.00 petang dan akan disambung semula esok berikutan kebakaran masih berterusan di kawasan tanah gambut yang memerlukan tempoh lebih lama untuk dipadamkan sepenuhnya.

JBPM Sarawak memaklumkan keluasan keseluruhan kawasan yang terbakar adalah 1.01 hektar, dengan 0.61 hektar berjaya dipadamkan setakat ini.

Baki kawasan seluas 0.40 hektar masih terbakar dan angka tersebut kekal seperti laporan sebelumnya.

Tiga pengusaha ladang turut terlibat membantu sepanjang operasi pemadaman.

Menurut JBPM, operasi pemadaman dihentikan sementara bagi hari ini, manakala pemantauan dan tindakan susulan akan diteruskan pada hari berikutnya sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya

Oleh Adi Safarman