
BINTANGOR: Sebuah kereta jenis Hyundai Accent yang terbakar di hadapan sebuah rumah di Jalan Tulai berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 1.56 pagi semalam sebelum sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi.
Katanya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Jais Ahad bersama lima anggota bomba bermula 2.20 pagi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Hyundai Accent yang tersadai di hadapan sebuah rumah tanpa penghuni.
“Anggota bomba yang lengkap memakai pakaian perlindung diri (PPE) dan alat pernafasan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal kebakaran,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, api berjaya dikawal pada 2.40 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian.
“Selepas memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula, pasukan bomba menamatkan operasi pada 2.50 pagi.
“Alhamdulillah, insiden ini tidak melibatkan mangsa dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Oleh Earl Anek