BINTULU: Kebakaran hutan seluas kira-kira 1.6 hektar di Lorong 2, Kampung Baru Similajau berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba dalam tempoh kira-kira 29 minit hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong, Rary Binjie berkata pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.13 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan tiba di lokasi pada 11.23 pagi dan mendapati kebakaran berlaku di kawasan seluas kira-kira 1.6 hektar.

“Ketua operasi membuat penilaian keadaan sebelum mengarahkan anggota bergerak ke kawasan kebakaran menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik orang awam kerana jentera bomba tidak mempunyai akses untuk memasuki kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota menjalankan kerja pemadaman menggunakan dua unit tong semburan dan dua unit pemukul api sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 11.36 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.42 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.

Pasukan bomba kemudian bergerak pulang ke BBP Kidurong pada 11.45 pagi dan tiba di balai pada 11.59 pagi.
Operasi itu melibatkan sebuah jentera CFRT Hino dengan kekuatan enam anggota.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Oleh Faizah Muzidi




