Kebakaran hutan memusnahkan lebih 107,000 hektar kawasan di seluruh Indonesia

Facebook
WhatsApp
SEORANG penduduk tempatan cuba memadamkan kebakaran hutan di Palangka Raya, Kalimantan Tengah. Foto AFP

JAKARTA: Pihak berkuasa mengerahkan pesawat pembenihan awan bagi membantu memadamkan kebakaran, manakala beberapa sekolah di wilayah terjejas menggantung sesi persekolahan selama tiga hari berturut-turut.

Indonesia, seperti beberapa kawasan lain di Asia Tenggara, berdepan musim panas dan kering yang lebih panjang tahun ini, dipengaruhi fenomena El Niño yang lebih kuat dan ada yang menggelarnya sebagai El Niño “Godzilla”.

Jerebu turut menyelubungi beberapa kawasan di Malaysia, dengan indeks pencemaran udara (IPU) di sebuah bandar kecil di Sarawak mencecah tahap tidak sihat iaitu 195 pada Rabu.

Pihak berkuasa Indonesia menumpukan usaha memadam kebakaran di enam wilayah, iaitu Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan dan Riau yang mempunyai kawasan tanah gambut luas dan mudah terbakar ketika musim kemarau.

Seorang penduduk di Kalimantan Tengah memberitahu BBC bahawa kebakaran hutan berlaku di kawasan itu “selama lebih sebulan”.

“Asap semakin tebal. Apabila kami keluar, mata mula terasa pedih. Bau asap juga sangat kuat,” kata Darwin Romy, seorang penduduk pribumi Dayak yang tinggal di bandar terbesar wilayah itu, Palangka Raya.

“Api sudah semakin hampir dengan kawasan perumahan… Masalahnya, bekalan air di sini mula berkurangan untuk kerja memadam kebakaran,” katanya.

Datuk Bandar Pontianak di Kalimantan Barat berkata, pelajar akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian selagi kebakaran berterusan.

“Kami sudah mula merasainya, terutama pada waktu malam dan pagi, apabila jerebu menyelubungi bandar Pontianak,” kata Edi Rusdi Kamtono pada Isnin, menurut laporan agensi berita AFP.

Selain enam wilayah paling teruk terjejas, kebakaran turut berlaku selama hampir seminggu di Taman Negara Gunung Bromo, Jawa Timur, sebelum berjaya dipadamkan pada Isnin.

Pasukan bomba berjaya mengawal sebahagian besar kebakaran yang memusnahkan kawasan luas taman negara itu, namun masih berusaha memadam beberapa titik panas yang tinggal di destinasi pelancongan popular berkenaan.

Ketua taman negara, Rudijanta Tjahja Nugraha, berkata kebakaran menjejaskan hampir 900 hektar kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru sehingga Selasa, selepas kawasan padang rumput kering, tumbuh-tumbuhan dan bunga edelweiss yang dilindungi terbakar di 36 titik panas.

Landskap gunung berapi Gunung Bromo, antara tarikan pelancongan paling terkenal di Indonesia, turut terjejas dan ditutup sementara pasukan bomba berusaha menghalang kebakaran daripada merebak di kawasan pemuliharaan.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto, berkata sehingga Selasa, titik panas aktif masih dikesan di dua lokasi dalam taman negara itu, iaitu Puncak 30, lokasi tinjauan popular pelancong, dan Dengklek, kawasan yang menempatkan pos pemantauan gunung berapi.

Nugraha berkata pasukan darat dan operasi udara terus dijalankan bagi mengelakkan kebakaran kembali marak.

Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai kemunculan titik panas baharu berhampiran kawah Gunung Bromo yang merupakan gunung berapi aktif.

Punca rasmi kebakaran masih dalam siasatan, namun pihak berkuasa tempatan percaya ia mungkin berpunca daripada kecuaian.

Jerebu turut merebak ke Malaysia. Bandar kecil Serian di Sarawak mencatat bacaan IPU tertinggi di negeri itu iaitu 195 pada pagi Rabu.

Bacaan IPU 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 301 dikategorikan sebagai berbahaya.

Sekurang-kurangnya sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat Rabu, menurut laporan media Malaysia. – Agensi