SIMANGGANG: Operasi memadam kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, dekat sini, memasuki hari ketiga hari ini dengan kira-kira 30 hektar daripada keseluruhan kawasan terjejas seluas 80 hektar berjaya dipadamkan.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi pemadaman masih diteruskan susulan baki kawasan yang terbakar dianggarkan seluas 50 hektar.
Pada 9.00 pagi, operasi dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mempercepatkan kerja pemadaman dan membina jalur pemisah api bagi menghalang api daripada terus merebak.
Kumpulan pertama terdiri daripada lima anggota menggunakan pam GP 10/10 dengan sumber air terbuka serta satu aliran sepanjang kira-kira 200 kaki untuk memadam sektor pertama.
Sementara itu, kumpulan kedua yang disertai empat anggota menggunakan pam pemadam kebakaran hutan dan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan satu muncung pancutan air bagi operasi pemadaman di sektor kedua.

Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii, bersama pegawai Bahagian Operasi JBPM Sarawak, PgKB II Nik Mohd Afiq Nik Roslan, turut hadir di lokasi pada 10.30 pagi bagi meninjau perkembangan operasi.
Operasi diteruskan semula pada 1.30 petang selepas anggota berehat untuk makan tengah hari dan berlangsung sehingga 5.30 petang sebelum ditangguhkan sementara atas arahan Ketua Zon 3.
Pasukan kemudian bergerak pulang ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman pada 6.00 petang dan tiba kira-kira 30 minit kemudian.
JBPM memaklumkan operasi berdepan beberapa kekangan, termasuk ketiadaan liputan komunikasi, tiupan angin kencang yang menyebabkan api mudah merebak, kekurangan sumber air terbuka seperti parit serta keadaan akses jalan yang sempit.
Seramai 15 anggota JBPM terlibat dalam operasi dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah lori tangki air.
Turut berada di lokasi membantu operasi ialah tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Operasi pemadaman dijangka disambung semula esok bagi menangani baki kawasan yang masih terjejas.
Oleh Adi Safarman




