Kebakaran hutan Kampung Kut merebak menuju Kampung Sungai Kut

Facebook
WhatsApp
PETA kawasan yang terlibat dengan kebakaran hutan di Kampung Kut, Daro.

DARO: Kebakaran hutan di Kampung Kut memasuki hari ketiga dan kini merebak ke arah Kampung Sungai Kut, manakala pasukan bomba giat membuat jalur pemisah api bagi mengawal serta menghalang kebakaran daripada terus merebak.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.53 pagi tadi dan mendapati kebakaran sedang merebak menuju ke arah Kampung Sungai Kut.

“Pasukan operasi kini menjalankan tindakan membuat jalur pemisah api bagi mengawal kebakaran serta menghalangnya daripada terus merebak ke kawasan berkenaan.

“Akses ke lokasi kebakaran juga tidak tersedia, menyebabkan pasukan operasi terpaksa membuat laluan sendiri untuk menyeberangi parit dari tepi jalan utama bagi membolehkan pergerakan ke lokasi,” katanya dalam satu laporan hari ini.

Mengulas lanjut, kebakaran hutan itu dianggarkan menjejaskan kawasan seluas 8.34 hektar, dengan empat hektar berjaya dipadamkan manakala baki 4.34 hektar masih belum dipadamkan.

“Operasi berdepan beberapa kekangan termasuk liputan komunikasi yang kurang memuaskan, tiupan angin kencang yang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air serta akses jalan yang sempit,” jelasnya.

Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro terlibat dalam operasi berkenaan dengan menggunakan sebuah jentera bomba dan penyelamat ringan.

Tiada agensi lain berada di lokasi setakat ini dan operasi pemadaman masih diteruskan.