SPAOH: Kebakaran hutan gambut membabitkan kawasan seluas kira-kira 30 hektar di Jalan Bungin-Serembang, di sini, berjaya dikawal apabila 24 hektar daripada kawasan terbabit telah dipadamkan setakat operasi hari ketiga, hari ini.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.44 petang, Sabtu lalu.
Operasi memadam kebakaran itu disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan diketuai PBK I Mosihi Buang, manakala Ketua BBP Betong, PPgB Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi turut berada di lokasi.
Pada 8.55 pagi hari ini, pasukan operasi BBP Betong bergerak ke lokasi bagi meneruskan usaha memadam kebakaran yang masih belum sepenuhnya dapat dikawal.

PGO JBPM Sarawak memaklumkan, daripada keseluruhan kawasan terbakar seluas 30 hektar, kira-kira 24 hektar telah berjaya dipadamkan, manakala enam hektar lagi masih dalam usaha pemadaman.
Operasi bagaimanapun berdepan beberapa cabaran termasuk laluan ke lokasi yang sempit dan sukar dilalui, selain ketiadaan sumber air berhampiran kawasan kebakaran.
Keadaan turut menyukarkan operasi apabila litupan GIRN dan rangkaian telefon di lokasi berkenaan dilaporkan kurang memuaskan.

Seramai lapan anggota BBP Betong digerakkan dalam operasi tersebut dengan kekuatan aset terdiri daripada sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki air, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dan sebuah van Urvan.
Pasukan bomba terus menjalankan kerja-kerja pemadaman bagi memastikan baki kawasan seluas enam hektar dapat dikawal sepenuhnya serta mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran.
Oleh Adi Safarman





