SARATOK: Keadaan banjir yang melanda Rumah Ason, Tembawai Kapok Awik semalam, semakin pulih dan air sungai telah mulai surut hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata hasil pemantauan anggota APM sekitar jam 10.45 pagi tadi mendapati air Sungai Lubok Nibong, Awik berdekatan rumah panjang berkenaan telah surut sepenuhnya.
“Hasil pemantauan yang dilakukan di rumah penduduk yang telah terjejas mendapati beberapa bilik tidak dapat diami disebabkan struktur lantai dan dinding telah runtuh.
“Jalan utama ke rumah panjang terbabit telah dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya.
Nur Athirah berkata walaupun keadaan di rumah panjang itu telah reda dan paras air sungai surut sepenuhnya, pemantauan terus dilakukan oleh anggota APM.
“Walaupun keadaan tersebut sudah terkawal, pihak kami sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat,” katanya.
Namun demikian, Nur Athirah menasihati penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia menghadapi musim banjir.
Katanya, penduduk diminta mengikut arahan pihak berkuasa jika berlaku banjir dan berharap semua penduduk mengikut arahan untuk berpindah serta mementingkan keselamatan keluarga kerana banjir boleh menjadi lebih buruk tanpa diduga.
Dalam pada itu, seramai 85 orang penghuni daripada 21 buah keluarga Rumah Ason, Tembawai Kapok Awik telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Dayak Saratok sejak petang semalam.
Ia berikutan rumah panjang tersebut ditenggelami air setinggi 1.24 meter dan arahan mengaktifkan PPS Dewan Dayak Saratok telah dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Saratok pada jam 3.30 petang semalam.
Oleh ADI SAFARMAN