KUCHING: Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuching bersiap siaga untuk mengawal sebarang kebanjiran orang ramai ke Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi urusan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, pihaknya telah bersiap lebih awal dengan seramai tujuh orang pegawai termasuk seorang pegawai kanan telah ditugaskan untuk memantau situasi di dua buah cawangan BSN di bandar Kuching.
“Bagi operasi semalam, penugasan telah bermula seawal jam 8 pagi dan selesai pada 3.00 petang.
“Hasil pemantauan di kedua-dua cawangan BSN tersebut mendapati orang ramai beratur dengan menjaga jarak masing-masing.
“Pihak bank turut menyediakan cecair pencuci tangan dan alat pengukur suhu serta hanya membenarkan tiga orang dibenarkan masuk ke dalam bank pada satu-satu masa dan berurusan di kaunter bank yang telah disediakan serta semua petugas menggunakan topeng muka.
“Mereka juga dikawal oleh petugas RELA yang membantu pihak Bank untuk mengawal kehadiran orang ramai,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut, hasil pemantauan di kedua-dua cawangan BSN tersebut juga mendapati keadaan adalah terkawal dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
“Adalah dianggarkan seramai 141 orang telah berurusan di BSN Jalan Chan Bee Kiew manakala 270 orang berurusan di BSN Jalan Bayor Bukit,” jelasnya.
Jelasnya, terdahulu pada Jumaat, pihanya telah mengadakan pertemuan dengan Pengurus BSN Kuching di Cawangan BSN Jalan Kulas, Satok mengenai persediaan pihak bank semasa kehadiran orang ramai yang akan hadir ke cawangan mereka untuk urusan BPN.