KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup masuk dadah berbahaya jenis methamphetamine bernilai keseluruhan RM1.32 juta menerusi bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), sekali gus menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama.
Pengarah Kastam, Datuk Norizan Yahya berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan Cawangan Narkotik JKDM pada 9 Julai lalu selepas pegawai kastam mengesan gerak-geri mencurigakan dua penumpang yang tiba menerusi penerbangan dari Johor Bahru.
Dalam kes pertama, katanya, seorang lelaki ditahan kira-kira 9.10 malam selepas didapati menanggalkan tag bagasinya sebelum membawa bagasi tersebut ke dalam tandas berhampiran ruang ketibaan, dipercayai bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa dan mengaburi identiti pemilik bagasi.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi tersebut menemukan 13 bungkusan teh Cina yang mengandungi dadah berbahaya disyaki methamphetamine seberat 13.2 kilogram dengan nilai dianggarkan RM660,000,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sarawak, di sini, hari ini.
Norizan berkata, kira-kira 10 minit kemudian, Cawangan Narkotik JKDM sekali lagi menahan seorang lagi lelaki yang tiba dengan penerbangan sama selepas turut bertindak mencurigakan apabila menanggalkan tag bagasi sebelum menyembunyikannya di dalam seluar.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bagasi suspek menemukan 13 bungkusan teh Cina mengandungi methamphetamine seberat 13.178 kilogram serta 83 biji pil Eramin 5 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM660,560.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain berdasarkan modus operandi yang digunakan serta penerbangan yang sama, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit”, katanya.
“Daripada maklumat yang kita terima, upah bagi penghantaran dadah kebiasaannya sekitar RM1,000 bagi setiap kilogram. Jika membawa kira-kira 13 kilogram, upah yang diterima dianggarkan sekitar RM13,000,” katanya ketika menjawab soalan media.
Menurut Norizan, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut proses perundangan.
Beliau berkata, sindiket menggunakan penerbangan domestik dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sebagai laluan penyeludupan, manakala tindakan menanggalkan tag bagasi dipercayai bertujuan mengelakkan pihak berkuasa mengesan pemilik sebenar bagasi yang membawa dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.
Sehubungan itu, orang ramai diminta terus bekerjasama dengan JKDM dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran, dengan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Oleh Shikin Mahmud




