KUCHING: Karnival Rindok Ati Lepak @Library Tupong adalah platform untuk merapatkan hubungan antara warga komuniti sekitar Kampung Tupong dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata program ini adalah saluran terbaik bagi merapatkan hubungan antara DBKU, Kejiranan Mesra (KJM) Tupong dan pemimpin masyarakat.
“Dengan ada hubungan ini, maka mudah untuk kita memahami apa sebenarnya syarat program yang dianjurkan DBKU dan mereka (DBKU) faham kehendak masyarakat di kampung ini.
“Apabila kita faham, barulah senang untuk mengutarakan sebarang isu kepada DBKU dan mereka cepat untuk menyelesaikannya.
“Maka sebab itu, pemahaman antara DBKU dan kepemimpinan masyarakat itu amat penting untuk keseluruhan masyarakat,” katanya berucap pada Karnival Rindok Ati Lepak @Library Tupong di Dewan Serbaguna Kampung Tupong, hari ini.
Pada masa sama, karnival yang diadakan sejak Jumaat lalu hingga hari ini menyediakan pelbagai aktiviti dan program ilmu kepada warga komuniti sekitar Kampung Tupong seperti pertandingan Zumba KJM, kempen perpustakaan, pertandingan futsal dan pertandingan e-sukan.
Di samping itu, objektif karnival ini diadakan adalah untuk mempromosikan dan menggalakkan pembudayaan berkunjung ke perpustakaan komuniti DBKU bagi mengisi masa lapang pelajar.
Selain itu, sebagai pendedahan kepada penduduk setempat dan orang awam bahawa perpustakaan komuniti juga merupakan penghubung kepada perkongsian maklumat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan DBKU.
Turut hadir Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Keterangan gambar
ALBUM… Fazzrudin Abdul Rahman (empat dari kanan) dan Mohamed Khaidir Abang (tengah) semasa sesi penyampaian hadiah pada Karnival Rindok Ati Lepak @Library Tupong di Dewan Serbaguna Kampung Tupong, hari ini.