KAPIT: Beberapa kawasan di Bahagian Kapit di sini sekali lagi dinaiki air hanya dalam tempoh kurang seminggu.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Erwandy Tugor, hujan yang melanda dalam tempoh beberapa hari ini telah menyebabkan dua buah rumah panjang dan sebuah tadika KEMAS dinaiki air.
“Hasil pemantauan semalam mendapati empat keluarga di Rumah Jermai, Sungai Sebenda terjejas selepas rumah mereka dinaiki air sedalam 1.0 meter.
“Kesemua mangsa telah berpindah sementara ke Rumah Bengau dan keadaan air masih bertahan,” jelasnya ketika dihubungi, semalam.
Jelasnya lagi, Tadika KEMAS Rumah Bengau turut dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Katanya, laluan utama ke Rumah Bengau juga dinaiki air sedalam 0.3 meter.
“Sebuah keluarga di Rumah Philimon yang terletak di Asal Bawai Kapit turut terjejas apabila kawasan terbabit dinaiki air setinggi 2 meter dan laluan utamanya ditenggelami air sedalam 0.2 meter,” ujarnya.