SKUAD Kapit FA berjaya menafikan peluang Sri Aman FA untuk kembali ke landasan kemenangan selepas mengikat skuad itu dengan keputusan seri 1-1, di Stadium Mini Song, dalam saingan Liga SSC-FAS, petang kelmarin.
Turun selaku pasukan pilihan, Sri Aman yang mendominasi separuh masa pertama hampir mendahului perlawanan namun rembatan kaki kiri Awang Syahriman Awang Ahmad pada minit ke-25 dapat ditepis penjaga gol tuan rumah, Awang Ashrin.
Pasukan ‘The Sleeping Croc’ yang dikendali oleh Sufian Ibrahim membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap mereka, Awang Shukry Awang Sebini yang dengan mudah menanduk masuk bola ke gawang Kapit FA, hasil lorongan rakan sepasukan, Abang Nur’Afirddin Abang Norazman, pada minit ke-38.
Tersentak dengan gol tersebut barisan muda Kapit FA yang dibimbing Pendi Bohari mencuba sedaya upaya untuk menyamakan gol, namun kekentalan barisa pertahanan yang diketuai ketua pasukannya, Abang Nur Afirman Abang Norazman berjaya menafikan segala percubaan mereka untuk menembusi benteng Sri Aman.
Bersambung babak kedua pula, memperlihatkan tempo permainan yang ditunjukkan Sri Aman FA agak perlahan dan banyak memberi peluang skuad Kapit FA untuk melakukan serangan balas, namun gagal menemui sentuhan gol.
Skuad Borneo Leorpards mendapat satu peluang terbaik untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi percubaan bahaya Mohd Marcellino pada minit ke-58 namun penjaga gol Sri Aman FA, Nur Helmy Aizuddin mudah menangkap bola rembatan tersebut.
Nur Helmy Aizuddin sekali lagi bertindak cemerlang apabila tangkas merebahkan badan dengan menafikan peluang yang hadir melalui rembatan leret pemain gantian Kapit FA, Alexson Blon pada minit ke-70.
Kapten Kapit FA, Havit Philip memecah kebuntuan buat pasukannya apabila menjaringkan gol pada minit ke-74 selepas melakukan rembatan yang menewaskan Nur Helmy ketika pergelutan berlaku di depan gol Sri Aman FA.
Keputusan 1-1 kekal hingga tamat masa kedua perlawanan, sekaligus perlawanan tumpuan itu menyaksikan tuan rumah, Kapit FA gagal melunaskan dendam selepas menerima kekalahan 0-1 pada pusingan pertama Liga SSC-FAS 2021 di Kompleks Sukan Sri Aman, Mac lalu.
Skuad pelawat yang turun tempang tanpa lima pemain utama akibat dibelenggu kecederaan masih lagi mampu membawa pulang satu mata berharga.
Dengan kemenangan Sri Aman FA itu, berjaya mengukuhkan lagi cengkaman di kedudukan teratas Zon Tengah selepas merekodkan sebanyak 10 mata hasil daripada tiga kemenangan dan sekali seri.
Manakala Kapit FA yang berada di kedudukan kedua pula mengumpul sebanyak tujuh mata, hasil dua kemenangan, sekali seri dan sekali kalah.
Oleh ADI SAFARMAN