PADAWAN: Mengaku membeli dadah jenis Syabu secara ‘bank in’ sebelum dijual kepada pembeli di sekitar Pekan Batu 7, di sini, dua tokan dadah dicekup pihak polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, dua lelaki berusia 26 dan 34 tahun berasal dari Kampung Sungai Bedil Besar dan Kampung Haji Baki diberkas pada 3.00 petang di dalam bilik sewa, Pasar Batu 7, semalam.
“Kedua-dua mereka disyaki terlibat dengan kegiatan dadah dan pemeriksaan ke atas tubuh badan serta bilik tersebut telah menjumpai tiga plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis Syabu dengan berat kasar 6 gram di atas lantai tempat kedua-dua suspek sedang duduk.
“Tangkapan dan rampasan di bawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah (BSJND) Padawan untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua suspek mengaku mengambil dadah Syabu kali terakhir pada hari ditangkap,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Beliau berkata, suspek pertama mengaku membeli dadah Syabu secara ‘bank-in’ dan akan dijual kepada pembeli di sekitar Pekan Batu 7 dan mempunyai dua rekod lampau Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod lampau ADB 1952.
“Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut bagi menjalankan sisatan yang lebih terperinci,” tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) & 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adi Safarman