BETONG, 5 Oktober: Projek pembinaan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok bernilai RM16 juta menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kemajuan fizikalnya kini mendahului jadual sebanyak 2.37 peratus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemajuan fizikal projek setakat ini mencapai 11.56 peratus berbanding 9.19 peratus mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau berkata, kemajuan kewangan projek turut menunjukkan prestasi positif apabila mencapai 13 peratus berbanding sasaran 10.76 peratus.
“Perkembangan ini menunjukkan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan dan kita berharap ia dapat disiapkan dengan baik bagi memberi manfaat kepada sektor pelancongan serta masyarakat setempat,” katanya selepas mengadakan lawatan ringkas ke tapak projek berkenaan, dekat sini, semalam.
Menurut Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, pembinaan replika berkenaan bakal menjadi antara produk pelancongan berasaskan sejarah yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dari luar ke Betong.
Katanya, kehadiran pelancong bukan sahaja dapat memperkenalkan sejarah perjuangan Rentap, malah berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat menerusi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan, penginapan dan produk komuniti.
“Pembinaan Replika Kubu Rentap ini memberi manfaat kepada rakyat, khususnya penduduk setempat.
“Kami berusaha mewujudkan satu elemen yang mampu menarik orang luar untuk datang ke Betong,” katanya.
Projek tersebut akan dibangunkan dengan reka bentuk yang menggambarkan suasana kubu lama, selain menampilkan elemen tradisional berkonsepkan rumah panjang Iban.
Antara kemudahan yang bakal disediakan ialah 10 unit chalet berkonsepkan rumah panjang Iban yang lengkap dengan dapur kecil dan bilik air, selain tanju, panggau, ruai, tempuan serta sebuah pusat informasi.
Projek pembinaan replika bersejarah itu bermula pada 24 Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 28 Mac 2028.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Saban Natasha Nasa Uggah serta wakil kontraktor yang dilantik.
Oleh Adi Safarman




