ABIDJAN: Sekurang-kurangnya lima orang, termasuk empat kanak-kanak, maut selepas hujan lebat semalaman membawa kepada banjir di ibu negara ekonomi Ivory Coast, Abidjan, kata Perkhidmatan Kecemasan pada Selasa lalu.
“Kami menerima panggilan kecemasan sejak 0300 (GMT dan tempatan). Malangnya lima orang, termasuk empat kanak-kanak terbunuh.
“Kanak-kanak maut dalam tanah runtuh dan orang dewasa dihanyutkan oleh air di kejiranan Bingerville di bandar itu,” kata Ketua Pasukan Bomba, Jeneral Issa Sacko.
Tambahnya, seramai 85 orangdiselamatkan dan seorang dibawa ke hospital, manakala penduduk di sebuah bangunan yang berisiko runtuh turut dipindahkan.
Hujan lebat turun sepanjang malam, membanjiri banyak kawasan kejiranan Abidjan dan menyebabkan beberapa jalan utama tidak dapat digunakan.
Sementara itu, penduduk turut membersihkan rumah mereka selepas air akhirnya surut di Bingerville
Seorang penduduk, Pricile Ziyahe, berkata, dia telah kehilangan segala-galanya dalam banjir.
Cynthia Koffi, seorang pelajar perubatan, berkata, air naik begitu tinggi sehingga memecahkan tingkap rumahnya.
Antara Isnin dan tengah hari Selasa lalu, beberapa kawasan kejiranan di Abidjan menerima kira-kira 200 milimeter hujan, bersamaan dengan beberapa minggu hujan, menurut data daripada Agensi Meteorologi Ivory.
Penduduk menyiarkan imej di media sosial yang menunjukkan tahap banjir di rumah atau kawasan kejiranan mereka dan meminta bantuan.
Pada minggu lalu, enam maut selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di kawasan kejiranan barat bandar Mossikro.
Tanah runtuh semasa musim hujan adalah risiko tertinggi di bandar yang berkembang pesat dengan lima juta penduduk itu dan kawasan yang sering dilanda banjir sering didiami oleh rakyat berpendapatan rendah. -AFP