TARIK BALIK… Kanada menarik balik keperluan vaksin untuk Covid-19 bagi pelancong domestik dan keluar mulai 20 Jun ini.
OTTAWA: Keperluan vaksinasi Covid-19 Kanada untuk pelancong domestik dan keluar, serta birokrat persekutuan dan pekerja pengangkutan akan digantung mulai minggu depan, kata pegawai pada Selasa lalu.
Pelitup muka, bagaimanapun, masih diperlukan pada pesawat dan kereta api.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa pada 20 Jun kerajaan kita akan menangguhkan keperluan untuk divaksinasi bagi menaiki pesawat atau kereta api di Kanada,” kata Menteri Pengangkutan Omar Alghabra pada sidang akhbar.
Beliau memetik kadar inokulasi yang tinggi dan penurunan jumlah kes Covid-19 serta kemasukan ke hospital di seluruh negara. Langkah itu juga dilakukan kerana kebanyakan sekatan pandemik lain telah ditarik balik.
Menteri Hal Ehwal Antara Kerajaan, Dominic Leblanc menambah bahawa ini tidak akan, bagaimanapun, segera meredakan kesesakan di lapangan terbang Kanada.
Masalah itu, bersama-sama dengan kelewatan dalam pengeluaran pasport, mencetuskan bantahan awam dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerana semakin ramai rakyat Kanada berusaha untuk melakukan perjalanan selepas lebih dua tahun sekatan dan penutupan pandemik Covid-19.
Polisi vaksin mandatori untuk pengembara telah dilancarkan pada Oktober 2021 dan Alghabra memberi amaran ia boleh dikenakan semula pada musim gugur jika kes Covid-19 melonjak semula.
“Kerajaan kita akan sentiasa menilai langkah-langkah dan tidak akan teragak-agak untuk membuat pelarasan tambahan berdasarkan nasihat dan sains kesihatan awam terkini,” katanya.
Pelancong yang memasuki Kanada, sementara itu, mesti terus menunjukkan bukti vaksinasi, tetapi mereka yang meninggalkan negara tidak lagi perlu berbuat demikian.
Alghabra menyatakan bahawa Amerika Syarikat, destinasi popular untuk warga Kanada, masih memerlukan bukti vaksinasi bagi mereka yang tiba dari luar negara.
Dalam satu kenyataan, kerajaan Kanada berkata, ia mengekalkan keperluan untuk pengembara masuk untuk divaksinasi kerana kadar vaksinasi dan kawalan virus di negara lain berbeza dengan ketara dan ia akan berfungsi sebagai perlindungan tambahan terhadap sebarang varian masa depan.
Menurut angka kerajaan, lebih daripada 90 peratus rakyat Kanada telah menerima dua dos vaksin Covid, manakala kira-kira separuh juga telah menerima penggalak,. -AFP