NEW YORK: Kamus rujukan Amerika Syarikat (AS), Merriam-Webster akan mengemas kini makna perkataan “rasisme”, lapor agensi berita Xinhua.
Langkah itu diambil selepas seorang wanita kulit hitam di Missouri, mendakwa definisi sekarang tidak termasuk mengenai penindasan sistematik terhadap warna kulit.
“Kajian semula untuk makna perkataan rasisme sedang dirancang untuk ditambah ke dalam kamus serta menyemak semula perkataan lain yang berkaitan dengan rasisme,” menurut perkongsian Kennedy Mitchum, lulusan Drake University di Iowa, menerusi Facebooknya baru-baru ini.
Mitchum, 22, menghantar e-mel kepada syarikat kamus itu bulan lalu, susulan kematian lelaki Afrika-Amerika George Floyd.
“Saya memberitahu mereka bahawa definisi sedia ada tidak mewakili apa yang sebenarnya berlaku di dunia,” kata Mitchum kepada CNN. – Bernama