
HANOI: Hanoi merancang melaksanakan projek perintis pemasangan 100 kamera berkuasa kecerdasan buatan (AI) di lokasi tumpuan keselamatan makanan dalam usaha memperkukuh pemantauan dan memodenkan tadbir urus, kata pegawai pada satu mesyuarat semalam, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kamera itu akan dipasang di rumah sembelih berpusat, pasar borong dan kawasan makanan jalanan, dengan keupayaan beroperasi sepanjang masa serta mengesan pelanggaran secara automatik bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan tepat dan segera.
Cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan oleh Jawatankuasa Rakyat Hanoi bagi menilai usaha menangani kekangan dalam pengurusan keselamatan makanan serta melancarkan Program Bulan Tindakan Keselamatan Makanan 2026.
Pada mesyuarat itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Hanoi Vu Cao Cuong berkata pengurusan keselamatan makanan di ibu negara telah menunjukkan peningkatan ketara susulan usaha penguatkuasaan kebelakangan ini.
Sebanyak 173 daripada 231 premis perniagaan yang menceroboh jalan raya dan laluan pejalan kaki telah dibersihkan, bersamaan 75 peratus. Bandar itu juga telah menutup 101 rumah sembelih berskala kecil yang gagal memenuhi piawaian kebersihan.

Pihak berkuasa di peringkat komune dan wad telah mengenakan tindakan terhadap 927 premis yang melanggar peraturan, dengan jumlah denda melebihi VND5.9 bilion (AS$224,000). Polis bandar turut mendakwa lima kes melibatkan 10 tertuduh kerana menghasilkan dan memperdagangkan produk makanan tiruan, sekali gus memperkukuh kesan pencegahan terhadap pelanggaran.
Pegawai berkata model perintis yang sedang dilaksanakan ketika ini, termasuk rumah sembelih berpusat, pasar borong selamat makanan, pasar tradisional, dapur kolektif dan perkhidmatan makanan siap dimakan, telah membantu meningkatkan kawalan terhadap peringkat berisiko tinggi seperti penyembelihan, pasar dan makanan jalanan.
Model itu juga menyumbang kepada pemulihan ketertiban dalam perniagaan makanan berskala kecil, meningkatkan ketelusan serta membantu pengguna membuat pilihan lebih selamat, di samping meletakkan asas kepada peralihan daripada pengurusan reaktif kepada pengurusan proaktif.
Bagi menangani cabaran berterusan dengan lebih berkesan, bandar itu akan memperluas penggunaan teknologi, termasuk pemantauan AI dan kod QR statik di gerai pasar tradisional, selain pengoperasian talian aduan 1022 untuk menerima maklum balas orang ramai. – Bernama