Kai Wun-Roy King juara Masters Korea

Facebook
WhatsApp
TEE Kai Wun-Yap Roy King muncul juara Masters Korea 2026 selepas menewaskan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik 21-13, 21-18 di Gimnasium Yi Sun-sin Asan, hari ini. Foto Facebook BAM

KUALA LUMPUR: Strategi Malaysia dalam acara beregu lelaki membuahkan hasil apabila pasangan Tee Kai Wun-Yap Roy King muncul juara Masters Korea 2026 di Gimnasium Yi Sun-sin Asan, hari ini.

Pasangan itu meraih gelaran dalam penampilan pertama mereka bersama pada pentas final, selepas menumpaskan rakan senegara Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dengan straight set, 21-13, 21-18, dalam tempoh hanya 31 minit.

Ini merupakan kali kedua Malaysia menjuarai Masters Korea sejak 2024, dengan gelaran berkenaan sebelum ini dimenangi oleh gandingan Wooi Yik dan Aaron Chia.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad beregu lelaki kebangsaan dengan memisahkan gandingan sedia ada bagi membentuk kombinasi yang lebih mantap menjelang kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 tahun depan.

Menerusi “scratch pair” itu, pemain yang sebelum ini sudah lama bergandingan kini menerima rakan gandingan baharu.

Sebelum rombakan itu, Kai Wun dan Wei Chong merupakan rakan gandingan, manakala Wooi Yik bergandingan dengan Aaron, dan Roy King berpasangan dengan Wan Arif Wan Junaidi. – Bernama