
KUALA LUMPUR: Ketiadaan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia susulan kecederaan yang dialami, membuka peluang kepada Justin Hoh untuk membuktikan kredibilitinya membantu Malaysia menempa kejayaan pada Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, bermula esok.
Justin, yang akan mengiringi perjuangan ketua pasukan Leong Jun Hao bagi kem perseorangan lelaki negara, sudah tentu tidak mahu mensia-siakan kepercayaan barisan jurulatih dalam penampilan sulungnya di kejohanan yang berlangsung di Gimnasium Xiamen Fenghuang.
Pemain ranking ke-46 dunia itu mengakui telah bersiap sedia memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong sekali gus menyumbang pingat dan membantu pasukan negara menjulang piala berprestij itu.
“Memang ini kali pertama saya beraksi di Piala Sudirman dan saya sangat teruja. Kalau saya diturunkan pasti saya akan beri permainan yang terbaik.
“Saya memang nak rebut pingat kali ini namun sebagai pasukan kita perlu berkerjasama (capai sasaran pingat),” katanya menerusi audio dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada media hari ini.
Justin juga berharap Malaysia mampu membuka kempen kali ini dengan langkah kanan menerusi kemenangan ke atas Perancis pada aksi Kumpulan C, Isnin ini (28 April).
Selepas Perancis, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Australia (29 April) dan menutup tirai aksi kumpulan menentang pilihan ketiga kejohanan, Jepun (1 Mei).
Dalam pada itu, pemain beregu wanita negara Carmen Ting yang bergandingan dengan Go Pei Kee, juga berkongsi keterujaan menempuh pengalaman pertama di Piala Sudirman dan berharap seluruh pasukan beraksi tanpa tekanan.
Pasukan Malaysia juga akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain-pemain senior dan berpengalaman seperti pasangan nombor dua dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Kejohanan Badminton Asia 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki); Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita).
Pemain lain yang turut disenaraikan ialah Goh Jin Wei dan K. Letshanaa (perseorangan wanita) serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir pada kejohanan berprestij yang berlangsung hingga 4 Mei ini.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Sudirman adalah mara ke peringkat separuh akhir sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023. — Bernama