Jururawat pemangkin penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARIKEI: Jururawat merupakan tonggak utama sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang memainkan peranan besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Katanya, pengorbanan serta komitmen warga kejururawatan dalam memberikan rawatan dan penjagaan kepada pesakit wajar terus dihargai, selain kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.

“Sebagai wakil rakyat, sektor kesihatan sentiasa menjadi keutamaan saya. Saya bukan sahaja mengambil berat tentang rakyat yang memerlukan rawatan, tetapi juga mengambil berat tentang kebajikan kalian yang berkorban tanpa henti demi memastikan rakyat sentiasa dijaga dan dilindungi.

“Sebagai tanda sokongan, saya dengan sukacitanya menyumbangkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk aktiviti tahunan persatuan ini.

“Para jururawat, kalian bukan sekadar kakitangan kesihatan, kalian adalah sebahagian daripada keluarga besar komuniti Sarikei yang saya kasihi dan jaga,” katanya.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam ‘Malam Retro Jururawat 2026’ (Nurses Retro Night 2026) sempena sambutan Hari Jururawat, anjuran Persatuan Jururawat Profesional Sarawak (SNPA) dan Persatuan Bidan Sarawak (SMA), di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony, malam tadi.

Tambahnya, sumbangan tersebut diharap dapat membantu memperkasakan aktiviti persatuan di samping menjadi penghargaan kepada warga kejururawatan yang sentiasa berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan berwawasan dalam memperkasakan sektor kesihatan dan memartabatkan profesion kejururawatan di negeri ini.

“Pelbagai inisiatif strategik telah dilaksanakan termasuk penubuhan Pusat Kanser, pelaksanaan perkhidmatan Doktor Udara dan naik taraf infrastruktur hospital.

“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen beliau untuk memastikan rakyat Sarawak mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan kebajikan para petugas kesihatan terus diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Katanya, usaha berterusan kerajaan memperkukuh kemudahan kesihatan dan menjaga kebajikan petugas akan terus menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak.

Turut hadir, Pengerusi SNPA yang juga pengerusi majlis makan malam Jururawat Bahagian Sarikei 2026 Wong Siew Hua, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sarikei Stanley Kung Teck Li, Ketua Penyelia Jururawat Hospital Sarikei Matron Suraya Kram dan pegawai perubatan Dr Rankle Abut selaku wakil kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei.

Oleh Earl Anek