BINTULU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SMK Tatau meningkat kepada 260 orang daripada 73 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat 12.00 tengah hari ini.
Peningkatan jumlah mangsa itu susulan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai yang menyebabkan lebih ramai penduduk terpaksa berpindah ke PPS.
PPS itu dibuka pada 11.00 pagi semalam setelah air mula melimpah di kawasan penempatan mereka.
Menurut Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong dalam satu kenyataan, paras air di Sungai Kakus dan Batang Anap terus meningkat, dengan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) pada 4.00 pagi tadi menunjukkan Pekan Tatau berada pada tahap berbahaya, manakala paras air di Sungai Muput di tahap amaran.
Pihak berkuasa, termasuk Pejabat Daerah Tatau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), RELA dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah dikerahkan untuk memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa di PPS.
Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis, bersama Pegawai Daerah, Calvin Ligong, turut meninjau keadaan di PPS Dewan SMK Tatau bagi memastikan bantuan mencukupi dan mangsa berada dalam keadaan selesa.
Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dan bersiap sedia untuk membuka lebih banyak PPS jika jumlah mangsa terus meningkat.
Orang ramai yang berada di kawasan berisiko tinggi dinasihatkan agar berpindah lebih awal dan mengikuti arahan keselamatan daripada pihak berkuasa.
Oleh Carolyne Utih