KABONG: Dua lelaki dicekup kerana disyaki terlibat menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dalam serbuan di dua lokasi berasingan di sekitar Pekan Kabong semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani berkata, kegiatan judi dalam talian di daerah ini terus digempur dalam usaha membanteras kegiatan haram berkenaan daripada berterusan.
Semalam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok telah melakukan dua tangkapan individu yang terlibat dalam kegiatan itu di kawasan Pasar Kabong sekitar 3.10 petang semalam.
“Bertempat di sebuah pondok tepi jalan kawasan pasar Kabong, polis telah berjaya menangkap seorang suspek lelaki berusia 28 tahun yang disyaki menjalankan kegiatan judi secara dalam talian.
Dalam serbuan tersebut, polis telah merampas seunit unit telefon bimbit jenama S-Mobile berserta simkad, sekeping kertas kecil tercatat nombor ID judi online, sebatang pen jenama g’soft, 22 keping wang tunai bercampur-campur berjumlah RM50,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Mordani berkata, dalam serbuan kedua pula, polis telah menangkap seorang suspek lelaki berumur 38 tahun bertempat di sebuah kedai kopi di Pasar Kabong sekitar 3.20 petang.
“Dalam serbuan kedua, polis turut merampas seunit unit telefon bimbit jenama WIKO berserta dua keping simkad, dua keping kertas kecil tercatat nombor id judi online, sebatang pen jenama Large, enam keping wang tunai bercampur-campur berjumlah RM45,” jelasnya.
Kedua-dua suspek kata Mordani, kemudiannya ditangkap dan dibawa ke IPD Saratok berserta barang rampasan untuk siasatan lanjut.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan kedua-dua suspek ditahan dalam lokap untuk dipohon reman pada 10 Julai,” tambahnya.
Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha dan individu yang terlibat dalam kegiatan ini supaya tidak menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen, kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi boleh mengakibatkan berlakunya ‘penyakit sosial’ seperti ketagih judi dan juga menghancurkan kehidupan kekeluargaan.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas kegiatan ini, dan menyeru masyarakat yang mempunyai maklumat tampil menyalurkannya kepada pihak polis,” tambah Mordani.
Oleh Adi Safarman