SERIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak terus memperketatkan penguatkuasaan menerusi ‘Ops Khas Gempur Teknikal’ yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.
Sebanyak 104 kenderaan diperiksa di sepanjang Jalan Kuching-Serian, dengan 28 notis ketidakakuran dikeluarkan dalam operasi terkini yang dijalankan oleh Unit Operasi JPJ Cawangan Serian semalam,
Menurut kenyataan JPJ di laman Facebook, operasi ini berjaya mengesan pelbagai kesalahan, termasuk pelanggaran syarat permit, membawa muatan secara berbahaya, dan beberapa pelanggaran teknikal lain.
“Langkah ini bertujuan memastikan pematuhan penuh terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,”katanya.
Pada kenyataan sama, JPJ Sarawak memaklumkan bahawa operasi tersebut akan terus diperluaskan untuk memantau pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.
“Kami akan terus komited mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
JPJ turut menasihati semua pengguna jalan raya, khususnya pengendali kenderaan perdagangan, supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.
Orang awam yang ingin menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan boleh disalurkan melalui e-Aduan@JPJ(MyJPJ), SiSPAA, emel p.sarawak@jpj.gov.my, atau talian 082-373000.
Untuk mendapatkan maklumat terkini, orang ramai digalakkan mengikuti laman sosial rasmi JPJ Sarawak di Facebook dan TikTok.