SARIKEI: Sepanjang tempoh perlaksanaan pengurangan diskaun saman sebanyak 70 peratus dari 1 Ogos hingga 23 Ogos lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak berjaya mengutip sejumlah RM163,824 hasil perolehan saman.
Pengarah JPJ Sarawak, Mohd. Syafiq Anas Abdullah berkata, bagi JPJ Sarikei, dari tempoh 1 Ogos hingga 23 Ogos lalu, sebanyak RM8,760 jumlah hasil perolehan saman berjaya dikutip.
“Pengurangan diskaun saman tersebut adalah bertujuan mengalakkan orang ramai yang mempunyai saman membayar saman sempena bulan kemerdekaan bermula 1 Ogos hingga 31 Ogos ini.
“Bersempena bulan kemerdekaan ini, sebagai satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat, kerajaan prihatin beban kewangan dan sebagainya melibatkan pengguna yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.
“Dalam tempoh 1 Ogos sehingga 31 Ogos ini, kerajaan menawarkan 70 peratus diskaun saman untuk semua saman yang boleh dikompaun,” katanya di sidang media selepas operasi bersepadu JPJ Sarikei, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarikei, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarikei di Jalan Simpang Bulat, pagi semalam.
Jelasnya, saman yang boleh dikompaun contohnya yang melibatkan cukai jalan, lesen memandu termasuk PSV, GDL dan sebagainya.
“Kecuali untuk kes lebih muatan melebihi 30 peratus dan cukai jalan yang tiada pelindungan insurans, yang itu memang terus ke mahkamah. Kita tiada bagi diskaun untuk kes ini.
“Kita (JPJ) juga membuka kuanter pada Sabtu dan Ahad. Tetapi untuk Ahad, kita menggalakkan penggunaan pembayaran secara kad saja sehingga adanya pemberitahuan nanti,” ujarnya.
Katanya, operasi bersepadu yang dijalankan oleh JPJ Sarikei, PDRM Sarikei dan AADK Sarikei di Jalan Simpang Bulat semalam melibatkan 21 anggota penguatkuasa iaitu sembilan anggota JPJ Sarikei, enam anggota PDRM Sarikei dan enam anggota AADK Sarikei.
“Tujuan operasi bersepadu ini adalah untuk memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya.
“Dalam operasi pagi ini (semalam), pihak AADK Sarikei mengesan lima kes positif dadah jenis Syabu yang melibatkan lima individu dalam lingkungan umur 30-an.
“Dari segi notis saman sepanjang 1 jam kita beroperasi, JPJ Sarikei mengesan enam notis pelbagai kesalahan, antaranya tidak menampakkan tanda ‘P’, plat serta gagal mengemukakan lesen kenderaan dan cukai jalan kenderaan motor semasa diperiksa.
“PDRM Sarikei juga mengesan tiga kesalahan trafik semasa operasi bersepadu ini,” katanya. Turut hadir, Ketua JPJ Sarikei, Nurul Fairezzah Safri.
Oleh Earl Anek