ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan mengumumkan keputusan mengenai pembukaan dan kebenaran beberapa sektor ekonomi penting untuk beroperasi pada kapasiti penuh di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana pihaknya perlu mengambil kira kesesuaian, membuat pertimbangan dan melihat situasi semasa COVID-19 di Sarawak sebelum membuat sebarang keputusan penting.
“Bagi sarawak, kita telah dinasihatkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan dengan persetujuan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sebarang keputusan untuk negeri, jawatankuasa akan melihat secara mendalam sebelum mengumumkan keputusan.
“Ini kerana Sarawak telah diberi mandat untuk melihat sendiri keadaan, tetapi kalau contoh undang-undang mandatori seperti kebenaran di dalam sebuah kereta boleh dua orang ahli keluarga, itu kita wajib patuhi,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kuching, semalam.
“Namun demikian, pihak jawatankuasa akan melihat secara lebih mendalam tentang perkara ini dengan mengambil kira kesesuaian pelaksanaannya di Sarawak dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kerajaan Persekutuan.
“Begitu juga mengenai pengumuman untuk pembukaan taska dan tabika yang akan diumumkan selepas perbincangan mendalam selain mengambil maklum balas daripada rakyat kerana apa-apa jua keputusan yang akan diambil, keselamatan rakyat adalah menjadi perkara utama,” jelasnya.
Uggah turut mengumumkan keputusan JPBNS membenarkan dua ahli keluarga terdekat untuk melakukan perjalanan dengan kereta bagi tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, makanan tambahan atau apa-apa barang lain dari mana-mana pembekal perkhidmatan penting atau untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan.
Terdahulu Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Selasa menyatakan kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika PKP diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan berkuatkuasa pada Khamis.