SHEILA ZAIDI
KUCHING : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akur dengan saranan rakyat di negeri ini yang enggan aktiviti jualan makanan di bulan Ramadan beroperasi 3.00 petang sehingga jam 10.00 malam.
Menteri Pelancongan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selepas mengambil kira maklum balas daripada masyarakat melalui media sosial, pihak JPBNS akur mungkin terdapat kelemahan semasa keputusan ini diambil.
“Oleh yang demikian, kita telah menetapkan aktiviti jualan makanan semasa bulan Ramadan adalah secara dalam talian seperti e-bazaar bermula pada jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam, sama seperti tempoh arahan pergerakan semasa perintah kawalan.
“Peniaga juga digalakkan untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan dan tempoh penghantaran adalah sama iaitu bermula 7.00 pagi hingga 7.00 malam,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama semalam.
Menurut Karim, mereka juga digalakkan untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan aplikasi jualan dan penghantaran sedia ada seperti FoodPanda, GrabFood dan sebagainya.
Selain daripada itu, mereka turut dibenarkan untuk menjual makanan mereka melalui aplikasi Whatsapp, Telegram dan lain-lain mengikut keselesaan masing-masing, katanya.
Katanya lagi, peniaga juga perlu mematuhi arahan penjarakan sosial serta pemakaian penutup hidung dan mulut semasa menghantar makanan kepada pelanggan.
Karim turut menggesa peniaga makanan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan semasa menyediakan barangan jualan walaupun hanya memasak dari rumah.
Malah, peniaga juga sangat digalakkan untuk berdaftar dengan majlis tempatan di kawasan masing-masing.
“Di kesempatan ini juga, saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak atas perkongsian pendapat, saranan serta kritikan yang diberikan.
“Saya turut berbangga atas keprihatinan dan komitmen rakyat dalam membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri ini, terima kasih kepada semua,” katanya.
Dalam pada itu, berkenaan dengan restoran dan pihak hotel pula,juga dibenarkan beroperasi tetapi hanya perkhidmatan bungkus dan bawa pulang dan penghantaran kepada pelanggan dibenarkan, ujar Karim.
Rabu lalu, JPBNS telah mengumumkan bahawa aktiviti penjualan makanan semasa bulan Ramadan adalah dibenarkan bermula pada jam 3.00 petang hingga 10.00 malam.
Namun, pengumuman ini mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat Sarawak dan rata-ratanya membantah kerana mengambil kira situasi wabak Covid-19 yang melanda negeri ini masih belum reda.