
MIRI: Tindakan pembakaran terbuka oleh orang awam boleh memburukkan keadaan jerebu selain meningkatkan risiko kebakaran besar, khususnya di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar ketika musim kemarau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembakaran terbuka bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah berpotensi mencetuskan kebakaran besar yang sukar dikawal.
“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan rakyat serta kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” katanya semasa menghadiri pada majlis taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri di sini hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri turut menegaskan semua aset, jentera dan peralatan operasi perlu berada dalam keadaan baik serta bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
Mengenai ancaman kebakaran tanah gambut dan jerebu sepanjang musim kemarau di bahagian ini, beliau berkata JPBB Miri perlu memperketat kesiapsiagaan, termasuk memperkukuh pemantauan titik panas serta memperhebat larangan pembakaran terbuka di seluruh bahagian ini.
Beliau juga mengarahkan semua agensi pengurusan bencana di Miri supaya sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
Pada majlis itu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memaklumkan sebanyak 23 titik panas telah dikesan setakat ini di Bahagian Miri, dengan tujuh kes sedang dalam siasatan.
Menurut NREB, pemantauan larangan pembakaran terbuka dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan paya gambut Kuala Baram sejak awal Mac lalu, selain menjalankan verifikasi terhadap titik panas di kawasan peladangan komersial atau ladang kelapa sawit.
Hasil pemantauan tersebut, tujuh kertas siasatan sedang disediakan, selain tindakan amaran lisan diberikan kepada pekebun kecil dan orang awam yang didapati berisiko melakukan pembakaran terbuka.
Usaha kesedaran awam juga dipertingkatkan melalui pengedaran poster, risalah dan kempen pendidikan berkaitan larangan pembakaran terbuka.
Pada masa sama, NREB turut mengaktifkan bilik operasi jerebu, memperhebat rondaan lapangan, memberhentikan permit pembakaran terkawal dan mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada pemaju projek.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang cuaca panas dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka khususnya bagi golongan berisiko tinggi.
Menurut NREB, mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan pencemaran udara boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREO).
Pesalah boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang awam juga digalakkan melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pejabat NREB berhampiran atau melalui talian hotline rasmi bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Sesi taklimat tersebut turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin; Residen Bahagian Miri, Galong Luang, serta wakil pelbagai agensi termasuk PDRM, JBPM, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Lawatan kerja Uggah itu juga bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan agensi berkaitan dalam menghadapi risiko bencana sepanjang musim kemarau, sekali gus memastikan pengurusan bencana di bahagian ini kekal cekap dan berkesan.
Oleh Liong Chai Ling