
KUCHING: AirBorneo, syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan MyDigital ID bagi memperkenalkan pengalaman perjalanan lebih lancar serta pengesahan identiti digital yang selamat.
Pengumuman itu dibuat sempena Forum MyDigital ID dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel, sekali gus menandakan langkah penting AirBorneo dalam usaha menjadi syarikat penerbangan serantau paling maju dari segi digital di Malaysia.
Kerjasama yang dimeterai itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, sekali gus meletakkan AirBorneo sebagai perintis dalam sektor penerbangan yang memanfaatkan keupayaan Single Sign-On (SSO) dan e-Pengesahan MyDigital ID.
Melalui integrasi ini, penumpang AirBorneo bakal menikmati pengalaman digital tanpa geseran, termasuk akses log masuk selamat hanya dengan satu klik menggunakan identiti digital nasional tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan.
Selain itu, sistem e-pengesahan masa nyata membolehkan proses pengesahan identiti dilakukan ketika tempahan dan daftar masuk, sekali gus mengurangkan risiko penipuan serta mempercepatkan pematuhan perjalanan bagi laluan domestik dan antarabangsa.
Pendekatan berteraskan privasi turut diberi penekanan apabila sistem berasaskan persetujuan pengguna memastikan data peribadi sensitif tidak disimpan secara berlebihan, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa.
Inisiatif ini merupakan antara tonggak utama visi ‘Wings of Unity’ AirBorneo yang bertujuan menghubungkan komuniti di seluruh Borneo dan luar wilayah menerusi inovasi serta kesalinghubungan tanpa sempadan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan kemudahan dan keselamatan terbaik kepada penumpang.
“Di AirBorneo, kami bukan sekadar mengendalikan penerbangan, tetapi membina jambatan digital masa depan. Kerjasama ini membuktikan komitmen kami terhadap janji ‘Borneo for You’ dengan meletakkan keselesaan dan keselamatan penumpang sebagai keutamaan.
“Dengan penggunaan sistem identiti digital nasional yang dipercayai, kami bersedia menghadapi masa depan serta memastikan setiap perjalanan lebih selamat dan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, integrasi MyDigital ID turut menyokong pelan pengembangan AirBorneo yang dijadualkan bermula Julai 2026, termasuk operasi jet serantau serta pelancaran penerbangan terus dari Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta.
Keupayaan menyediakan pengesahan identiti yang diyakini dilihat penting dalam memenuhi keperluan perjalanan antarabangsa selain meningkatkan pengalaman digital penumpang secara keseluruhan.
Forum MyDigital ID yang dihadiri lebih 300 pemimpin industri dan pegawai kerajaan itu turut menekankan kepentingan kerjasama rentas sektor dalam membina ekosistem digital yang selamat dan inklusif.
Penyertaan AirBorneo dalam inisiatif ini mengukuhkan peranannya sebagai antara pemain utama dalam pembangunan ekosistem identiti digital selamat negara.